Oct 28, 2024 - FASRekod tujuh perlawanan tanpa kalah Selangor FC dalam saingan Liga Super 2024/25 akhirnya lebur selepas akur dengan kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 0-3 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Perlawanan agak seimbang pada awalnya di mana pasukan tuan rumah hampir berjaya mencuri tumpuan menerusi percubaan dari Ali Olwan. Beraksi tanpa beberapa tonggak utama pasukan, kubu Gergasi Merah gagal menyekat asakan berbahaya dan gol daripada pasukan pendahulu liga itu hadir menerusi percubaan Romel Morales serta dua jaringan daripada Bergson Da Silva.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, beliau jelas tidak gembira dengan kekalahan ini.
“Saya akui keputusan 0-3 ini tidak bagus. Ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kita cuba nak dapatkan kemenangan terutamanya beraksi dilaman sendiri. Kita juga mahu kurangkan jurang mata dengan mereka. Oleh itu, kita tidak gembira dengan keputusan ini. Namun, komitmen para pemain saya tidak pernah nafikan.” Jelas beliau.
Walau bagaimanapun, skuad Gergasi Merah masih kekal menghuni tangga kedua carta Liga Super 2024/25 selepas mengumpul 26 mata dari 13 perlawanan, enam mata di atas pasukan di tangga ketiga iaitu Sabah FC.
Selangor FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ semalam. Sokongan anda amat kami hargai.
Seterusnya, kelab Gergasi Merah akan bertandang ke negeri jelapang padi bagi bertemu Kedah Darul Aman pada hari Sabtu ini, 2 November 2024, jam 9:00 malam bagi saingan Liga Super ke-15 di Stadium Darul Aman.
Demi Kebanggaan!